‘Wujudkan badan pantau caj perkhidmatan tersembunyi’

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan (KPDNKK) dicadangkan supaya mewujudkan sekretariat khusus bagi memantau caj perkhidmatan tersembunyi yang dikenakan terhadap pengguna.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata ia susulan 300 kes aduan berkaitan kadar caj perkhidmatan yang tidak munasabah berlaku di sekitar Lembah Klang yang diterima PPIM, sepanjang tahun ini.

“Antara aduan yang kami terima adalah berkaitan caj tempat letak kereta, caj bil-bil utiliti yang tidak masuk akal sehingga membebankan pengguna dan perkara ini perlu dipantau oleh satu badan khusus supaya pengguna tidak akan ditipu,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Justeru beliau mencadangkan agar sekretariat berkenaan diberikan tanggungjawab untuk menyediakan garis panduan terhadap caj perkhidmatan yang akan dikenakan ke atas pengguna.

Beliau berkata caj perkhidmatan yang dimaksudkan itu termasuk caj sambungan meter air dan elektrik, caj tambahan tempat letak kereta dan sebagainya.

Nadzim berkata PPIM juga berhasrat mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan Datuk Hamzah Zainudin untuk berbincang mengenai cadangan penubuhan sekretariat berkenaan.

– Bernama

Sumber : malaysiakini.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *