Perselisihan faham Frost dan Chong Wei selesai

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengesahkan perselisihan faham antara Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen dan Datuk Lee Chong Wei sudah selesai.

Dalam pertemuan dengan Chong Wei, semalam, katanya bekas pemain nombor satu dunia itu telah memberikan jaminan bahawa masalahnya dengan Frost tidak akan berterusan.

Katanya Chong Wei menyatakan bahawa beliau rasa letih dan memerlukan rehat selepas tidak berhenti daripada menyertai kejohanan apabila kembali semula daripada penggantungan, Mei lepas.

Chong Wei digantung lapan bulan oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) atas kesalahan doping pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, akhir Ogos tahun lepas.

Chong Wei turut menyatakan beliau tidak mempunyai masalah dengan Frost dan hanya meminta disediakan rakan sepelatih untuk dibawa ke kejohanan di luar negara, kata Khairy kepada pemberita selepas merasmikan jualan promosi barangan sukan sempena Hari Sukan Negara di sini hari ini. – BERNAMA

Sumber : utusan.com.my

Malaysia, Indonesia meterai MoU selesai masalah jerebu

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Malaysia akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Indonesia pada tahun ini bagi menyelesaikan segera masalah jerebu yang berlaku pada setiap tahun.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, memorandum tersebut sepatutnya dibincangkan dalam perjumpaan pada 25 September ini tetapi terpaksa ditunda ke tarikh lain.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Pusat Konservasi Panda Gergasi di Zoo Negara di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Sumber : utusan.com.my