2 ‘bot tangguk siput retak seribu’ ditahan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan kelas A jenis ‘bot tangguk siput retak seribu’ di pantai Kuala Kedah kerana melanggar syarat lesen perairan pantai tersebut, Khamis.

Ketua Penguatkuasa Pangkalan Maritim Kuala Kedah Lt Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata APMM mengesan dua bot nelayan yang mencurigakan pada pukul 11.55 pagi sebelum berjaya menahan bot terbabit lima minit kemudian.

“Bot berjaya ditahan pada jarak 1.6 batu nautika dari pantai Kuala Kedah dan kita telah menahan enam warga tempatan yang berumur antara 18 dan 55 tahun,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar Jumaat.

Ahmad Kamal berkata hasil pemeriksaan mendapati waktu operasi di dalam permit salah satu bot yang ditahan meragukan manakala sebuah lagi telah beroperasi melebihi masa yang dibenarkan.

Katanya, bot yang ditahan kemudian ditunda ke Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk siasatan dan pendakwaan.

“APMM memandang serius aktiviti penggunaan pukat tunda di kawasan penangkapan di Zon A kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk terhadap ekosistem di perairan negara,” katanya.

– Bernama

Sumber : malaysiakini.com