Program perkauman rugikan negara

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melahirkan kebimbangan beliau terhadap tindakan sesetengah pihak menganjurkan program bersifat perkauman.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, tindakan pihak yang menganjurkan program tersebut dilihat bukan sahaja mengamalkan politik sempit, malah mencetuskan perasaan takut terhadap masyarakat lain.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno tidak menyatakan secara terperinci apakah “program” yang disebutkan itu, namun difahamkan beliau merujuk kepada Himpunan Rakyat Bersatu yang diadakan di Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

Dalam perhimpunan didakwa polis dihadiri 50,000 orang itu beberapa pemimpin Melayu termasuk Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Ahmad Maslan serta Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali turut mengambil bahagian.

Progam yang asalnya diadakan untuk menyatakan sokongan kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan “mempertahankan maruah Melayu” itu turut dicemari beberapa insiden berbau perkauman.

Muhyiddin berkata apabila program bersifat perkauman diadakan untuk tujuan politik sempit dan seolah-olah mahu menjadi juara bangsa tertentu, ia tidak baik untuk negara.

“Pada masa sama ia mencetuskan perasaan bimbang dan takut khasnya kepada masyarakat lain. Ini tak baik,” katanya.

Namun Muhyiddin yang berucap sempena program pemimpin bersama rakyat Kembara Umno Pagoh menyelitkan pujian kepad ahli parti itu di bahagian berkenaan.

“Saya tak mahu orang Pagoh dalam keadaan begitu. Tapi Pagoh semuanya OK, tak ada gaduh,” katanya.

[Berita penuh menyusul]

Sumber : malaysiakini.com

Jerebu boleh jejaskan pelancongan negara

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan tidak menafikan peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 akibat jerebu sedikit banyak menjejaskan kedatangan pelancong asing ke negara ini.

Timbalan Ketua Setiausahanya, Datuk Rashidi Hasbullah berkata, kebanyakan pelancong akan menangguhkan perjalanan mereka ke Malaysia dan lebih teruk lagi mengubah destinasi pelancongan ke negara lain.

“Biasanya pelancong-pelancong bila dapati kawasan itu banyak jerebu, mereka takut nak datang, maka mereka menangguhkan kehadiran ke negara kita, hingga jerebu selesai, mungkin datang kemudian.

“…mereka mungkin ke tempat lain yang tiada jerebu, kalau pelancong yang sudah ada di negara kita, mereka tak keluar dari hotel, mereka duduk terus hotel atau kawasan tertutup,” katanya selepas merasmikan Citrawarna@Kuala Lumpur 2015 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, di sini, hari ini.

Beliau mengulas bacaan IPU di laman sesawang Jabatan Alam sekitar menunjukkan kawasan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka mencatatkan tahap sangat tidak sihat sehingga berbahaya dengan bacaan melebihi IPU 200.

Dalam pada itu, Rashidi juga berkata pencemaran udara itu mengundang persepsi buruk dalam kalangan pelancong luar kerana jerebu menakutkan mereka.

“Ia memberi kesan yang tidak baik kepada tanggapan pelancong kerana, bila pelancong kata bila datang ke negara kita ada jerebu, mereka takut nak datang, takut ada jerebu lagi.

“Harap jerebu yang berlaku di negara kita ini boleh ditangani dengan sebaiknya kerana ia bukan dari negara kita, tapi dari negara lain,” ujarnya.

Rashidi berkata lagi, sehingga kini pihaknya belum mempunyai sebarang angka rasmi tentang kesan jerebu ke atas jumlah kehadiran pelancong asing ke negara ini.

“Jerebu ini baru seminggu berlaku, jadi angka bagi September ini kita kena tengok nanti, kehadiran pelancong itu kita sukat sebulan sekali.

“Kita tak boleh anggar kerana jerebu ini berlaku setiap tahun, ada sesetengah (pelancong) sudah lali dengan jerebu ini, ada beranggapan bila ada jerebu akan menjejaskan kesihatan, pelancong macam ini yang selalunya tidak akan datang,” katanya lagi.

Sumber : sinarharian.com.my

Kualiti udara di seluruh negara pulih pagi ini

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Keadaan kualiti udara di seluruh negara pulih sepenuhnya pagi ini dengan kebanyakan kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana dan tiada lagi kawasan yang mempunyai bacaan tidak sihat.

Pada malam tadi, hanya satu kawasan iaitu Balok Baru di Kuantan yang merekod kualiti udara tidak sihat dengan bacaan IPU 101, manakala kawasan lain merekodkan kualiti udara sederhana dan sihat.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), 45 kawasan mencatat bacaan IPU sederhana dengan Seri Manjung, Perak merekodkan bacaan tertinggi iaitu 95 setakat 9 pagi ini.

Sementara tujuh kawasan di Sabah dan Sarawak mencatat kualiti udara sihat dengan Institut Latihan Perindustrian Miri mencatat bacaan (28), Limbang (32), Sandakan dan Kapit (masing-masing 36), Kota Kinabalu (39), Keningau (43) dan Miri (44).

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya). Orang ramai boleh merujuk portal http://apims.doe.gov.my/v2/ untuk mengetahui bacaan IPU semasa. – BERNAMA

Sumber : utusan.com.my