Keputusan ujian DNA Morais dalam masa 2 minggu

Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat yang ditemui dalam tong dram berisi konkrit di Subang, Selangor yang dipercayai Anthony Kevin Morais, akan diketahui dalam masa dua minggu.

Adik Morais, Datuk Richard Morais berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Institut Forensik Nasional di Hospital Kuala Lumpur, pagi tadi.

Richard dan abangnya, David menjalani ujian DNA di institut itu pada pukul 8.15 pagi.

Pada masa sama, Richard mengesahkan kepada Bernama, tiada upacara pengebumian akan diadakan untuk Morais yang juga timbalan ketua bahagian bicara dan rayuan di Jabatan Peguam Negara, sehingga keputusan ujian DNA itu diketahui.

“Kita mungkin tak tanam, sebab keadaan mayat macam itu, jadi kita kena bakar, tapi tak tahu lagi di mana, sebab sekarang masih terlalu awal untuk buat keputusan,” katanya.

Sementara itu, sumber hospital menjelaskan tempoh dua minggu itu adalah purata waktu yang diberikan untuk keputusan ujian DNA.

“Keputusan mungkin diperoleh lebih awal daripada itu, ia boleh ambil masa hanya sehari,” katanya.

Mayat Kevin Morais ditemui disumbatkan dalam tong dram berisi konkrit di Subang Jaya, dekat sini Rabu lepas selepas seorang daripada tujuh suspek membawa polis ke lokasi di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah.

Kevin Morais, 55, dilaporkan hilang pada 4 September selepas kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q.

– Bernama

Sumber : malaysiakini.com

Bengkel sembunyi kereta Morais milik suspek

Polis mengesahkan bengkel kereta yang dipercayai tempat mendiang Anthony Kevin Morais yang juga merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, disembunyikan sebelum dibunuh adalah milik seorang daripada lima suspek yang ditahan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata bengkel yang terletak di USJ 3, Subang Jaya itu merupakan antara tempat yang disiasat oleh pihaknya memandangkan ia terletak tidak jauh dari lokasi mangsa ditemui.

“Ia (bengkel) milik seorang daripada suspek…maklumat lain masih dalam siasatan dan tidak boleh didedahkan.

“Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan berhubung kes ini,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Operasi Total Enforcement Pilot Project di Brickfields di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Mayat Kevin Morais ditemui dalam tong berisi konkrit di Subang Jaya dekat sini pada Rabu lalu, selepas seorang daripada suspek membawa polis ke lokasi tong itu dibuang di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah.

Morais, 55, kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, di Kuala Lumpur pada 4 Sept untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WA6264Q.

Sumber : malaysiakini.com