Bengkel sembunyi kereta Morais milik suspek

Polis mengesahkan bengkel kereta yang dipercayai tempat mendiang Anthony Kevin Morais yang juga merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, disembunyikan sebelum dibunuh adalah milik seorang daripada lima suspek yang ditahan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata bengkel yang terletak di USJ 3, Subang Jaya itu merupakan antara tempat yang disiasat oleh pihaknya memandangkan ia terletak tidak jauh dari lokasi mangsa ditemui.

“Ia (bengkel) milik seorang daripada suspek…maklumat lain masih dalam siasatan dan tidak boleh didedahkan.

“Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan berhubung kes ini,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Operasi Total Enforcement Pilot Project di Brickfields di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Mayat Kevin Morais ditemui dalam tong berisi konkrit di Subang Jaya dekat sini pada Rabu lalu, selepas seorang daripada suspek membawa polis ke lokasi tong itu dibuang di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah.

Morais, 55, kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, di Kuala Lumpur pada 4 Sept untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WA6264Q.

Sumber : malaysiakini.com