PAS: Tahaluf dengan PKR, bukan DAP, AMANAH

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengulangi gesaan supaya wakil rakyat parti itu meletakkan jawatan jika menyertai parti lain termasuk Parti Amanah Rakyat (Amanah).

Beliau berkata tindakan itu perlu kerana semua calon PAS pada pilihan raya umum lepas telah melafazkan Bai’ah bersumpah, dan mereka akan dilaknati Allah swt jika melanggar Bai’ah itu.

“PAS sebagai parti Islam membuat Bai’ah dengan Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, para pemimpinnya dan calon-calon pilihan raya dengan sumpah Wallahi, Wabillahi dan Watallahi.

“Semasa berBai’ah, kita sebut sebagai calon Parti Islam Semalaysia (PAS) dan tidak disebut PKR atau DAP. Ini diucapkan oleh setiap calon sama ada yang menang atau kalah.

“Parti (PAS) mewajibkan dalam Bai’ah jika dipecat keluar parti, mereka kena letak jawatan sebagai Ahli Parlimen atau ADUN. Ini disebut dalam bai’ah itu,” jelas Abdul Hadi semasa berucap pada program Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.2 di Pulau Serai dekat Dungun.

Turut hadir pada program tiga hari itu yang berakhir hari ini, ialah Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta Pesuruhjaya PAS negeri Satiful Bahri Mamat.

Abdul Hadi berkata gesaannya merujuk kepada tindakan beberapa wakil rakyat PAS yang menyertai Amanah, parti baharu yang diterajui bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Pada sidang media kemudian, Mustafa mengesahkan tiga pemimpin tertinggi PAS telah mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan PKR termasuk presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Isnin bagi membincangkan mengenai tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang.

Dalam pertemuan itu di Ibu Pejabat PKR Kuala Lumpur, PAS diwakili oleh Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan dan Mustafa manakala PKR diwakili beberapa pemimpin tertingginya yang diketuai oleh Wan Azizah.

“Kita masih tahaluf dengan PKR tetapi dengan DAP dan parti baru (Amanah), kita tak ada tahaluf,” katanya.

-Bernama

Sumber : malaysiakini.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *