Jerebu boleh jejaskan pelancongan negara

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan tidak menafikan peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 200 akibat jerebu sedikit banyak menjejaskan kedatangan pelancong asing ke negara ini.

Timbalan Ketua Setiausahanya, Datuk Rashidi Hasbullah berkata, kebanyakan pelancong akan menangguhkan perjalanan mereka ke Malaysia dan lebih teruk lagi mengubah destinasi pelancongan ke negara lain.

“Biasanya pelancong-pelancong bila dapati kawasan itu banyak jerebu, mereka takut nak datang, maka mereka menangguhkan kehadiran ke negara kita, hingga jerebu selesai, mungkin datang kemudian.

“…mereka mungkin ke tempat lain yang tiada jerebu, kalau pelancong yang sudah ada di negara kita, mereka tak keluar dari hotel, mereka duduk terus hotel atau kawasan tertutup,” katanya selepas merasmikan Citrawarna@Kuala Lumpur 2015 di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Jalan Ampang, di sini, hari ini.

Beliau mengulas bacaan IPU di laman sesawang Jabatan Alam sekitar menunjukkan kawasan di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka mencatatkan tahap sangat tidak sihat sehingga berbahaya dengan bacaan melebihi IPU 200.

Dalam pada itu, Rashidi juga berkata pencemaran udara itu mengundang persepsi buruk dalam kalangan pelancong luar kerana jerebu menakutkan mereka.

“Ia memberi kesan yang tidak baik kepada tanggapan pelancong kerana, bila pelancong kata bila datang ke negara kita ada jerebu, mereka takut nak datang, takut ada jerebu lagi.

“Harap jerebu yang berlaku di negara kita ini boleh ditangani dengan sebaiknya kerana ia bukan dari negara kita, tapi dari negara lain,” ujarnya.

Rashidi berkata lagi, sehingga kini pihaknya belum mempunyai sebarang angka rasmi tentang kesan jerebu ke atas jumlah kehadiran pelancong asing ke negara ini.

“Jerebu ini baru seminggu berlaku, jadi angka bagi September ini kita kena tengok nanti, kehadiran pelancong itu kita sukat sebulan sekali.

“Kita tak boleh anggar kerana jerebu ini berlaku setiap tahun, ada sesetengah (pelancong) sudah lali dengan jerebu ini, ada beranggapan bila ada jerebu akan menjejaskan kesihatan, pelancong macam ini yang selalunya tidak akan datang,” katanya lagi.

Sumber : sinarharian.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *