Hanya Balok Baru di Kuantan catat IPU tidak sihat

SEORANG pekerja tidak memakai topeng muka ketika keadaan berjerebu di Jalan Pekelliling, Pasir Gudang dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara mencatatkan 103 iaitu pada paras tidak sihat. – Foto Hairul Anuar Abd Rahim
KUALA LUMPUR: Kebanyakan kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana setakat 8 malam ini, dengan hanya Balok Baru di Kuantan, Pahang merekodkan bacaan 101 iaitu kualiti udara tidak sihat.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) malam ini, antara kawasan dengan bacaan IPU sederhana ialah Muar di Johor (75), Tanah Merah di Kelantan (78), Nilai di Negeri Sembilan (81), Alor Star di Kedah (82), Kemaman di Terengganu (92), Seri Manjung di Perak serta Pelabuhan Klang (94) dan Shah Alam (95) di Selangor.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. – BERNAMA

Sumber : bharian.com.my

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *