Pak Samad: Ini bukan zaman silat

Ketika Datuk Seri Najib Razak menegaskan bahawa pesilat akan mempertahankan kerajaan hingga titisan darah terakhir, Sasterawan Negara Datuk A Samad Said memberikan takrifan baru kepada seni bela diri itu.

“Bagi saya silat sekarang sebenarnya adalah khazanah untuk dipertunjukkan sahaja bukan untuk mempertahankan diri lagi,” katanya dalam sebuah forum di Petaling Jaya hari ini.

Samad yang menyertai DAP baru-baru ini menegaskan, perkembangan teknologi semasa menjadikan amalan persilatan tidak begitu ampuh untuk mempertahankan negara.

Katanya, pada zaman ini pertentangan boleh berlaku dan pihak berseteru boleh dikalahkan dengan tembakan dari jarak jauh.

“Kita tak lagi guna keris,” katanya yang mesra dengan panggilan Pak Samad.

Beliau yang mendapat pengiktirafan tertinggi kerajaan terhadap penggerak kesusasteraan dan kesenian pada 1985 berkata, apa yang berlaku pada perhimpunan pesilat semalam adalah simbolik yang menunjukkan ketakutan bangsa Melayu.

Semalam, perdana menteri menghadiri perhimpunan 15,000 pengamal persilatan bersama bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam.

Dalam ucapan penuh bersemangat itu Najib memuji pesilat terbabit kerana sanggup mempertahankan kerajaannya.

Kata Samad, orang ramai perlu memahami dan melihat persilatan daripada suduh pandang kesenian.

“Pada zaman ini kita tidak lagi menggunakan silat (untuk mempertahankan negara),” katanya.

Sumber : malaysiakini.com

Ringgit teruskan aliran meningkat minggu depan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka meneruskan momentum meningkatnya minggu depan walaupun Rizab Persekutuan (FED) US mengekalkan kadar faedah sedia ada.

Naib Presiden/Ketua Penyelidik Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, dengan keputusan FED mengekalkan kadar faedah sedia ada, ia mengurangkan tekanan ke atas Bank Negara Malaysia serta mata wang tempatan.

Bercakap kepada Bernama hari ini, beliau berkata, paras semasa ringgit dan ketidaktentuan ekonomi US akan menggalakkan lebih banyak pelabur asing melabur di Malaysia, selain meningkatkan industri eksport.

Sementara itu, Ketua Penyelidik MIDF, Zulkifli Hamzah berkata, keputusan FED itu mendapat reaksi bercampur-campur dalam pasaran.

“Ringgit memperoleh manfaat berdasarkan pengukuhannya hari ini (Jumaat), memandangkan penangguhan itu melegakan dan memberi ruang kepada mata wang tempatan mengukuh. Sentimen ke atas ringgit dilihat kembali menuju kepada keadaan yang lebih baik.

“Dalam pasaran luar pesisir, elemen spekulasi sudah semakin reda,” katanya.

Namun beliau berkata, pergerakan mata wang tempatan bergantung kepada kedudukan harga minyak dan situasi tempatan.

“Ia merupakan gabungan elemen… yang berada dalam dan di luar kawalan kita,” katanya.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit mengukuh berbanding dolar US kepada 4.2030/2110 daripada 4.3150/3200 Jumaat lepas.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0211/0273 daripada 3.0510/0569 Jumaat lepas dan tinggi berbanding yen kepada 3.5242/5315 daripada 3.5812/5868 minggu lepas.

Ringgit juga mengukuh berbanding pound sterling kepada 6.5697/5831 daripada 6.6576/6679 minggu lepas dan meningkat berbanding euro kepada 4.8112/8208 daripada 4.8716/8781 Jumaat lepas. – Bernama

Sumber : sinarharian.com.my