Program perkauman rugikan negara

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melahirkan kebimbangan beliau terhadap tindakan sesetengah pihak menganjurkan program bersifat perkauman.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, tindakan pihak yang menganjurkan program tersebut dilihat bukan sahaja mengamalkan politik sempit, malah mencetuskan perasaan takut terhadap masyarakat lain.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno tidak menyatakan secara terperinci apakah “program” yang disebutkan itu, namun difahamkan beliau merujuk kepada Himpunan Rakyat Bersatu yang diadakan di Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

Dalam perhimpunan didakwa polis dihadiri 50,000 orang itu beberapa pemimpin Melayu termasuk Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Ahmad Maslan serta Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali turut mengambil bahagian.

Progam yang asalnya diadakan untuk menyatakan sokongan kepada Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan “mempertahankan maruah Melayu” itu turut dicemari beberapa insiden berbau perkauman.

Muhyiddin berkata apabila program bersifat perkauman diadakan untuk tujuan politik sempit dan seolah-olah mahu menjadi juara bangsa tertentu, ia tidak baik untuk negara.

“Pada masa sama ia mencetuskan perasaan bimbang dan takut khasnya kepada masyarakat lain. Ini tak baik,” katanya.

Namun Muhyiddin yang berucap sempena program pemimpin bersama rakyat Kembara Umno Pagoh menyelitkan pujian kepad ahli parti itu di bahagian berkenaan.

“Saya tak mahu orang Pagoh dalam keadaan begitu. Tapi Pagoh semuanya OK, tak ada gaduh,” katanya.

[Berita penuh menyusul]

Sumber : malaysiakini.com

Keputusan ujian DNA Morais dalam masa 2 minggu

Keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayat yang ditemui dalam tong dram berisi konkrit di Subang, Selangor yang dipercayai Anthony Kevin Morais, akan diketahui dalam masa dua minggu.

Adik Morais, Datuk Richard Morais berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Institut Forensik Nasional di Hospital Kuala Lumpur, pagi tadi.

Richard dan abangnya, David menjalani ujian DNA di institut itu pada pukul 8.15 pagi.

Pada masa sama, Richard mengesahkan kepada Bernama, tiada upacara pengebumian akan diadakan untuk Morais yang juga timbalan ketua bahagian bicara dan rayuan di Jabatan Peguam Negara, sehingga keputusan ujian DNA itu diketahui.

“Kita mungkin tak tanam, sebab keadaan mayat macam itu, jadi kita kena bakar, tapi tak tahu lagi di mana, sebab sekarang masih terlalu awal untuk buat keputusan,” katanya.

Sementara itu, sumber hospital menjelaskan tempoh dua minggu itu adalah purata waktu yang diberikan untuk keputusan ujian DNA.

“Keputusan mungkin diperoleh lebih awal daripada itu, ia boleh ambil masa hanya sehari,” katanya.

Mayat Kevin Morais ditemui disumbatkan dalam tong dram berisi konkrit di Subang Jaya, dekat sini Rabu lepas selepas seorang daripada tujuh suspek membawa polis ke lokasi di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah.

Kevin Morais, 55, dilaporkan hilang pada 4 September selepas kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, Kuala Lumpur untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan menaiki kereta Proton Perdana dengan nombor pendaftaran WA6264Q.

– Bernama

Sumber : malaysiakini.com

‘Wujudkan badan pantau caj perkhidmatan tersembunyi’

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan (KPDNKK) dicadangkan supaya mewujudkan sekretariat khusus bagi memantau caj perkhidmatan tersembunyi yang dikenakan terhadap pengguna.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata ia susulan 300 kes aduan berkaitan kadar caj perkhidmatan yang tidak munasabah berlaku di sekitar Lembah Klang yang diterima PPIM, sepanjang tahun ini.

“Antara aduan yang kami terima adalah berkaitan caj tempat letak kereta, caj bil-bil utiliti yang tidak masuk akal sehingga membebankan pengguna dan perkara ini perlu dipantau oleh satu badan khusus supaya pengguna tidak akan ditipu,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Justeru beliau mencadangkan agar sekretariat berkenaan diberikan tanggungjawab untuk menyediakan garis panduan terhadap caj perkhidmatan yang akan dikenakan ke atas pengguna.

Beliau berkata caj perkhidmatan yang dimaksudkan itu termasuk caj sambungan meter air dan elektrik, caj tambahan tempat letak kereta dan sebagainya.

Nadzim berkata PPIM juga berhasrat mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaaan Datuk Hamzah Zainudin untuk berbincang mengenai cadangan penubuhan sekretariat berkenaan.

– Bernama

Sumber : malaysiakini.com

Khairuddin sepatutnya jumpa FBI lusa

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang kini direman enam hari oleh polis sepatutnya bertemu pegawai Biro Siasatan Persekutuan (FBI) AS Isnin ini.

Bercakap kepada New York Times, peguam Matthias Chang berkata pertemuan itu diatur pihak Kedutaan AS di Kuala Lumpur.

Laporan itu menyebut bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan berkenaan bercadang menggesa pihak berkuasa AS menyiasat agensi pelaburan tajaan penuh kerajaan 1MDB, atas dakwaan melakukan pembersihan wang haram.

Bagaimanapun rancangan itu tergendala apabila Khairuddin dan Chang dilarang meninggalkan negara ini oleh Jabatan Imigresen,.

Chang adalah bekas Setiausaha Politik Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kira-kira jam 7.30 malam semalam Khairuddin ditangkap polis atas tuduhan cuba mengancam demokrasi berparlimen.

Sebelum itu Khairuddin bersetuju menemui penyiasat polis di Bukit Aman berhubung dokumen diserahkannya kepada pihak berkuasa Switzerland yang menyiasat isu 1MDB.

Selain Switzerland, Khairuddin juga mengemukakan aduan rasmi kepada pihak berkuasa di London, Singapura dan Hong Kong.

Beliau pernah dikenali sebagai penerbit buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Menjadi PM.

Sumber : malaysiakini.com

Jerebu: 173 rakyat M’sia dipindah dari Riau

Seramai 173 rakyat Malaysia dipindahkan selepas mereka terjejas teruk akibat jerebu yang melanda Provinsi Riau, terutama di Pekanbaru, Indonesia, pada Jumaat.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, dua pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terlibat dalam proses memindahkan kumpulan itu yang kebanyakannya adalah pelajar dan ahli keluarga mereka.

Pesawat dijangka tiba di Pangkalan TUDM Subang pukul 2.45 petang ini, tambah kenyataan itu.

Proses pemindahan itu dikendalikan Kementerian Luar bersama Majlis Keselamatan Negara.

Terdahulu, kementerian mengumumkan ia telah membuka bilik operasi untuk memantau keadaan di Riau, selain menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia termasuk pelajar, yang terjejas akibat jerebu di Pekanbaru.

Kerajaan Indoensia telah mengisytiharkan darurat di Riau pada 15 Sept apabila tahap jerebu di wilayah itu mencapai tahap berbahaya.

– Bernama

Sumber : malaysiakini.com

Bengkel sembunyi kereta Morais milik suspek

Polis mengesahkan bengkel kereta yang dipercayai tempat mendiang Anthony Kevin Morais yang juga merupakan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara, disembunyikan sebelum dibunuh adalah milik seorang daripada lima suspek yang ditahan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata bengkel yang terletak di USJ 3, Subang Jaya itu merupakan antara tempat yang disiasat oleh pihaknya memandangkan ia terletak tidak jauh dari lokasi mangsa ditemui.

“Ia (bengkel) milik seorang daripada suspek…maklumat lain masih dalam siasatan dan tidak boleh didedahkan.

“Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan berhubung kes ini,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Operasi Total Enforcement Pilot Project di Brickfields di Kuala Lumpur, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Mayat Kevin Morais ditemui dalam tong berisi konkrit di Subang Jaya dekat sini pada Rabu lalu, selepas seorang daripada suspek membawa polis ke lokasi tong itu dibuang di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah.

Morais, 55, kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta, di Kuala Lumpur pada 4 Sept untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan memandu kereta Proton Perdana berwarna kelabu dengan nombor pendaftaran WA6264Q.

Sumber : malaysiakini.com

PAS: Tahaluf dengan PKR, bukan DAP, AMANAH

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengulangi gesaan supaya wakil rakyat parti itu meletakkan jawatan jika menyertai parti lain termasuk Parti Amanah Rakyat (Amanah).

Beliau berkata tindakan itu perlu kerana semua calon PAS pada pilihan raya umum lepas telah melafazkan Bai’ah bersumpah, dan mereka akan dilaknati Allah swt jika melanggar Bai’ah itu.

“PAS sebagai parti Islam membuat Bai’ah dengan Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, para pemimpinnya dan calon-calon pilihan raya dengan sumpah Wallahi, Wabillahi dan Watallahi.

“Semasa berBai’ah, kita sebut sebagai calon Parti Islam Semalaysia (PAS) dan tidak disebut PKR atau DAP. Ini diucapkan oleh setiap calon sama ada yang menang atau kalah.

“Parti (PAS) mewajibkan dalam Bai’ah jika dipecat keluar parti, mereka kena letak jawatan sebagai Ahli Parlimen atau ADUN. Ini disebut dalam bai’ah itu,” jelas Abdul Hadi semasa berucap pada program Himpunan Harapan Semua (Harap) 3.2 di Pulau Serai dekat Dungun.

Turut hadir pada program tiga hari itu yang berakhir hari ini, ialah Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta Pesuruhjaya PAS negeri Satiful Bahri Mamat.

Abdul Hadi berkata gesaannya merujuk kepada tindakan beberapa wakil rakyat PAS yang menyertai Amanah, parti baharu yang diterajui bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

Pada sidang media kemudian, Mustafa mengesahkan tiga pemimpin tertinggi PAS telah mengadakan pertemuan dengan kepemimpinan PKR termasuk presidennya Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Isnin bagi membincangkan mengenai tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang.

Dalam pertemuan itu di Ibu Pejabat PKR Kuala Lumpur, PAS diwakili oleh Timbalan Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan dan Mustafa manakala PKR diwakili beberapa pemimpin tertingginya yang diketuai oleh Wan Azizah.

“Kita masih tahaluf dengan PKR tetapi dengan DAP dan parti baru (Amanah), kita tak ada tahaluf,” katanya.

-Bernama

Sumber : malaysiakini.com

3 maut, 13 cedera serangan bom di Narathiwat

Sebanyak lapan butir bom diletupkan dalam tempoh hampir dua jam malam tadi yang menyebabkan tiga orang terbunuh dan 13 lagi cedera di Narathiwat.

Ketua Polis Daerah Ranget, Kolonel Phakdee Prechachon berkata serangan bom yang berlaku dari 7.25 malam hingga 9.15 malam itu menyasarkan anggota renjer dan kawasan kediaman serta premis perniagaan.

Beliau berkata bom-bom diaktifkan dengan mengguna jam dan telefon bimbit.

Bom pertama meletup pada 7.25 malam di kedai menjual sarang burung di Jalan Rangetmanga, Mukim Tanjung Mas tetapi tiada yang cedera atau mati.

Tiada kematian atau kecederaan juga dalam letupan kedua, keempat, kelima, keenam, ketujuh dan kelapan.

Namun begitu, letupan ketiga yang berlaku pada 7.35 malam telah menyebabkan dua kematian dan 14 yang lain cedera. Seorang daripada orang awam yang cedera kemudiannya meninggal di hospital.

Letupan kuat itu daripada sebutir bom yang dipasang pada sebuah motosikal curi dan diletakkan di depan sebuah kedai serbaneka yang jaraknya 30 meter dari bom kedua.

Dua yang terkorban di tempat kejadian ialah seorang anggota renjer dan seorang awam manakala seorang lagi yang cedera meninggal di hospital Narathiwat Rachanakarin pada awal pagi tadi.

Ketua Polis Wilayah Sempadan Selatan Leftenan Jeneral Anurut Kerisana yang turun padang melihat lokasi kejadian pagi ini berkata hasil siasatan skuad bom, motosikal yang dipasang bom itu adalah milik Angchasa Fornsuwang, 17, pelajar wanita Kolej Teknik Narathiwat yang mati ditembak pada 14 September lepas.

Dalam kejadian itu, motosikal mangsa dilarikan dua suspek, kata beliau.

– Bernama

Sumber : malaysiakini.com

‘James Bond’ dinobat juara Mr Lembu Terengganu

MENTERI Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (Tengah) menyampaikan kunci kereta kepada Mat Rusli Ismail (kanan) sambil ditemani Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri dan Asas Tani Negeri , Mohamad Nawi (kiri) selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri di Kuala Kemaman. – Foto Baharom Bakar
KEMAMAN: Lembu yang digelar ‘James Bond’ dengan tag 007 milik seorang penternak, Mat Rusli Ismail, 47, berjaya dinobatkan sebagai ‘Mr Lembu 2015’ pada pertandingan ‘Mr Lembu’ peringkat Negeri Terengganu.

Atas kejayaan itu, Mat Rusli, dari Kampung Wakaf Dua, Marang, berjaya membawa pulang sebuah kereta Perodua Axia.

Katanya beliau tidak pernah menyangka baka lembu pedaging tempatan (baka KK iaitu Baka Kedah Kelantan) berusia dua tahun tersebut membawa tuah buatnya.

“Alhamdulillah, memang saya tak sangka akan menjadi juara bagi pertandingan ini sebab saingan daripada tujuh lagi peserta dari daerah lain juga hebat-hebat.

“Saya menternak lebih 70 ekor lembu dan apa yang istimewanya ‘James Bond’ ini berbanding lembu yang lain ialah ia memiliki sepasang tanduk berwarna merah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Terengganu yang disempurnakan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. – BERNAMA

Sumber : bharian.com.my

Bekas hakim: PM sekat kenaikan pangkat saya

Beliau mungkin boleh dinobatkan sebagai sinar harapan dalam badan kehakiman Malaysia tetapi beliau tidak pernah mendapat kenaikan pangkat seperti rakannya yang dilantik sebagai Peguam Negara Tan Sri Mohd Apandi Ali baru-baru ini.

Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, yang bersara awal bulan ini, mengesahkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghentikan perlantikanya ke Mahkamah Persekutuan.

Mohd Hishamudin menjelaskan bahawa perkara itu berlaku pada 2013, apabila Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) mencadangkan namanya kepada PM untuk pelantikan ke Mahkamah Persekutuan.

“Malangnya, PM tidak memihak kepada kenaikan pangkat saya ke Mahkamah Persekutuan. Saya rasa fakta ini adalah pengetahuan umum, “katanya kepada Malaysiakini dalam satu temubual eksklusif.

Dibentuk melalui Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009, suruhanjaya itu diusulkan pada masa bekas perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Peranannya untuk memastikan pemilihan tidak berat sebelah bagi pelantikan hakim di Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan di mana suruhanjaya itu akan menimbang dan membuat syor kepada PM.

Suruhanjaya itu dibentuk selepas suruhanjaya diraja bagi menyiasat klip video kontroversi Lingam pada 2007 yang melibatkan campur tangan politik dalam pelantikan hakim.

Banyak keputusan penting Hishamudin ini sepanjang kerjaya beliau semalam 23 tahun, boleh memberi kesan kenaikan pangkatnya.

Antara pengahakiman yang diingati adalah keputusan pada 2001, melepaskan pemimpin PKR N Gobalakrishnan dan Abdul Ghani Haroon daripada tahanan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan keputusan terbaru mengenai pendakwaan terhadap kes lelaki berpakaian perempuan dan sebaliknya, yang tidak berperlembagaan.

[Baca berita asal]

Sumber : malaysiakini.com