1MDB kecam laporan WSJ

1Malaysian Development Berhad (1MDB) telah mengutuk laporan terbaru Wall Street Journal (WSJ) mengenai syarikat itu dan menyifatkan ia sebagai ‘”salah, berdasarkan sumber lemah, sensasi dan berniat jahat.’

Laporan berkaitan pembayaran “hampir AS.0 bilion’ yang menurut WSJ dibuat oleh 1MDB bagi penamatan opsyen-opsyen tertentu.

Syarikat pelaburan kerajaan itu berkata: “Memandangkan seriusnya dakwaan yang tidak dibuktikan, sendiran berniat jahat dan kesan pelan rasionalisasi 1MDB, kami menjangka bahawa setidak-tidaknya WSJ akan mempunyai rasa sopan dan berani untuk menamakan sumbernya dan/atau mengemukakan bukti.”

“Ketidakupayaan untuk berbuat demikian jelas menunjukkan kecetekan dakwaan itu dan menimbulkan keraguan serius tentang sama ada para editor WSJ sendiri percaya kepada laporan yang lemah itu, dan juga para wartawannya.”

Laporan itu merujuk kepada syarikat pelaburan milik Abu Dhabi, Aabar dan anak syarikatnya IPIC, yang menjalankan urusniaga dengan 1MDB.

1MDB berkata dalam satu kenyataan: “Kami menegaskan bahawa kami tidak boleh bercakap bagi pihak Aabar atau IPIC apatah lagi memberi komen mengenai urusan perakaunan pihak ketiga.

“Apa yang kami boleh mengesahkan ialah bahawa nota-nota penyata kewangan 1MDB beraudit 31.03.2014 jelas menyatakan sumber pembiayaan dan tujuan pembayaran bagi penamatan opsyen, untuk mengelakkan keraguan, adalah berstruktur sebagai deposit sementara menunggu penentuan jumlah penyelesaian muktamad (iaitu ia kini aset kewangan milik, dan belum lagi perbelanjaan 1MDB).”

Ia menambah: “1MDB boleh mengesahkan bahawa berhubung dengan pembayaran yang dibuat oleh 1MDB, pilihan sebenarnya ditamatkan. Malahan, 1MDB dan anak-anak syarikatnya berkaitan telah dibebaskan daripada semua perjanjian, opsyen, kovenan, syarat dan ketentuan di pihak mereka di bawah opsyen dan sebarang hak oleh mana-mana pihak lain terhadap opsyen tersebut dilepaskan dan ditamatkan.”

– Bernama

Sumber : malaysiakini.com

Peluh, wanita gelang tarik perhatian ramai

KUCHING, Sept 20 — Peluh Anak Abeh making the copper coiled rings known as ‘ruyang’.These coiled rings, which look golden, but is not made of gold, are a mixture of copper and brass.–fotoBERNAMA (2015) COPYRIGHT RESERVED
KUCHING: Peluh Anak Abeh, 64, yang berpakaian tradisional masyarakat Bidayuh dan sedang duduk bersebelahan suaminya, Bohong Anak Titing, 67, di sebuah gerai pada Festival Kraftangan Sarawak di Kuching Waterfront di sini, menarik perhatian ramai.

Orang ramai bukan sahaja tertarik dengan pakaian dan ketekunan mereka menghasilkan gegelang tembaga ‘ruyang’ dan rusung’ tetapi juga kepada lingkaran gegelang berkenaan yang dipakai oleh Peluh pada lengan dan betisnya.

Selain itu Peluh yang juga adalah penari tradisional Bidayuh, turut memakai rantai leher manik yang dipanggil ‘tumbih’.

Pasangan itu yang juga suku Semban iaitu sebahagian daripada kaum Bidayuh dijemput oleh Perbadanan Pembangunan Kraftangan Malaysia untuk mempamer kemahiran mereka pada festival itu yang bermula Jumaat lalu hingga Ahad depan.

Peluh dan Bohong yang berasal dari Kampung Semban, tanah tinggi Padawan kini menetap di Skim Penempatan Semula Bengoh dekat Kampung Semadang di Penrissen dua tahun lalu, selepas perkampungan mereka dijadikan sebagai sebahagian daripada kawasan Projek Empangan Bengoh.

Pemakaian ruyang dan rusung yang turut dipakai pada leher kini dikhuatiri semakin pupus kerana hanya segelintir sahaja yang memakainya.

“Hanya tujuh orang wanita Semban yang kini memakai gelang di Kampung Semban, bertambah tiga orang berbanding tahun lalu,” kata Peluh.

Beliau berkata pada masa lalu wanita Semban mula memakai ruyang dan rusung sejak umur 10 tahun dan perlu menukarnya kepada gelang lebih besar ketika usia mereka semakin meningkat.

“Dahulu kalau nak memakainya bukan murah. Gelang dibawa oleh penjual ke kampung setelah meredah hutan, sungai, sawah, air terjun, titi gantung berjam-jam lamanya,” katanya.

Mengenai kesukaran memakai gelang, “Mula-mula rasa sakit, tapi bila sudah biasa, tak lagi rasa sakit. Saya pakai walaupun saya bekerja di ladang di tengah panas,” ujar Peluh sambil menggosok-gosok gelang yang disusunnya dengan buah limau agar lebih bersinar.

Beliau berkata, pada asalnya memakai ruyang dan rusung adalah untuk kelihatan cantik dan hanya si pemakai yang dibenar untuk menyertai majlis keraian dan menari tarian ‘rejang’ atau tarian burung helang.

Bohong pula berkata, pemakai gelang di kawasan penempatannya kini digemari untuk diajak bergambar bersama pengunjung.

“Pengunjung datang untuk ambil gambar kami dan mengambil gambar bersama kami,” katanya. – BERNAMA

Sumber : bharian.com.my

2 remaja dipenjara, tunggang motosikal ala ‘Superman’

Dua remaja hari ini dipenjara dua hari dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan melakukan aksi ala ‘Superman’.

Majistret Zilfinaz Abbas turut memerintahkan Muhammad Zulfirman Mohd Ikram, 18, dan Muhammad Amin Md Isa, 22, menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan tambahan hukuman penjara dua bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Zulfirman dan Muhammad Amin, masing-masing menggunakan motosikal jenis Yamaha RXZ serta Yamaha Lagenda didakwa menunggang secara melulu dan berbahaya dengan aksi ala ‘Superman’ dengan meletakkan dada pada kusyen serta mengangkat kaki lurus ke belakang.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Lebuhraya DUKE, di ibunegara, antara jam 3.30 dan 3.35 pagi, hari ini dan didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda, serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Hashimah Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, Muhammad Zulfirman dan Muhammad Amin yang tidak diwakili peguam, memohon dijatuhkan hukuman ringan atas alasan berasal daripada keluarga susah.

– Bernama

Sumber : malaysiakini.com

Usah cetus polemik perkauman

KUALA LUMPUR 19 Sept. – Usah dibiar polemik ekstremis perkauman terus tercetus bagi mengelakkan berlakunya perpecahan rakyat Malaysia.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kerajaan perlu segera memainkan peranan untuk memastikan Malaysia berada di landasan tepat sebagai sebuah negara liberal serta mengamalkan keterbukaan masyarakat. – UTUSAN ONLINE

Sumber : utusan.com.my

2 ‘bot tangguk siput retak seribu’ ditahan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua bot nelayan kelas A jenis ‘bot tangguk siput retak seribu’ di pantai Kuala Kedah kerana melanggar syarat lesen perairan pantai tersebut, Khamis.

Ketua Penguatkuasa Pangkalan Maritim Kuala Kedah Lt Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata APMM mengesan dua bot nelayan yang mencurigakan pada pukul 11.55 pagi sebelum berjaya menahan bot terbabit lima minit kemudian.

“Bot berjaya ditahan pada jarak 1.6 batu nautika dari pantai Kuala Kedah dan kita telah menahan enam warga tempatan yang berumur antara 18 dan 55 tahun,” katanya dalam kenyataan di Alor Setar Jumaat.

Ahmad Kamal berkata hasil pemeriksaan mendapati waktu operasi di dalam permit salah satu bot yang ditahan meragukan manakala sebuah lagi telah beroperasi melebihi masa yang dibenarkan.

Katanya, bot yang ditahan kemudian ditunda ke Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk siasatan dan pendakwaan.

“APMM memandang serius aktiviti penggunaan pukat tunda di kawasan penangkapan di Zon A kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk terhadap ekosistem di perairan negara,” katanya.

– Bernama

Sumber : malaysiakini.com

PM santuni Mursyidul Am PAS

Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din hari ini menerima kunjungan tetamu amat istimewa di wad tempat beliau dirawat sekarang – di Institut Jantung Negara (IJN).

Pelawat itu adalah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Gambar pertemuan mesra kedua-dua tokoh itu dimuat naik Ketua Penerangan Umno yang juga Timbalan Menteri Pedagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan, di Twitter beliau.

Haron menjalani proses angiogram di IJN pada 10 September lalu.

Berdasarkan kenyataan di Facebook beliau, bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu sedang beransur pulih.

Najib juga sempat memuat naik gambar beliau bersalaman bersama Haron dalam akaun Twitternya.

Sejak beberapa tahun lalu Haron dilaporkan keluar masuk IJN beberapa kali.

Najib dan Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah menziarahi Haron ketika tokoh terbabit ditempatkan di unit rawatan rapi IJN tahun lalu.

Sebelum ini Haron pernah menyatakan keraguannya terhadap dakwaan Najib memasukkan dana ke akaun persendiriannya seperti dilaporkan akhbar The Wall Street Journal (WSJ).

Bagaimanapun Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan segera menjelaskan kenyataan Haron itu tidak bertujuan mempertahankan Najib, sebaliknya tetap mahu siasatan dibuat terhadap laporan WSJ itu.

Tindakan Najib meluangkan masa melawat pemimpin PAS bukan sesuatu yang baru.

Pada Jun tahun lalu Najib turut muncul menziarahi Datuk Seri Abdul Hadi Awang di IJN dan meluangkan masa hampir sejam bersama-sama.

“Menziarahi Tuan Hj Hadi di hospital baru tadi. Moga cepat pulih, Insya-Allah,” kata Najib dalam catatan di laman Twitternya.

Sumber : malaysiakini.com

Wariskan kemakmuran, bukan hutang

Krisis kemelesetan ekonomi yang sedang menghantui negara amat membimbangkan terutama kepada anak muda.

Untuk mengatasi kemelut ekonomi yang semakin membarah ini, perdana menteri mengumumkan suntikan dana sebanyak RM20 billion ke dalam pasaran saham domestik melalui syarikat ValueCap Sdn Bhd.

Syarikat ini dimiliki oleh agensi kerajan iaitu Khazanah Nasional Berhad, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Langkah ini menimbulkan pelbagai persoalan:

1) Mengapakah kerajaan tidak menggunakan dana RM20 billion tersebut untuk tujuan pelaburan dalam aktiviti ekonomi sebenar (real economy). Langkah itu akan mendatangkan kesan pengganda (multiplier effect) lebih tinggi yang mana akan meningkatkan aktiviti ekonomi domestik.

Langkah ini sekali gus menambahkan pendapatan dan menghasilkan peluang pekerjaan kepada rakyat jelata. Kita bimbang kerana suntikan modal sebegini hanya menaikkan nilai keuntungan di atas kertas semata-mata.

2) Adakah suntikan dana RM20 bilion ini akan menggunakan wang rakyat kerana pemegang saham ValueCap terdiri daripada institusi yang dilihat sebagai lubuk tabungan rakyat iaitu KWAP, PNB dan Khazanah Nasional Bhd?

3) Adakah suntikan dana ini merupakan pakej pemulihan jangka panjang dan cekap dalam menangani krisis yang sedang dihadapi?

Persoalan ini timbul kerana langkah yang sama telah dilakukan oleh kerajaan China beberapa bulan dahulu namun akhirnya mengheret pasaran saham republik itu ke dalam tragedi China Black Monday pada tanggal 24 Ogos 2015.

Hanya langkah pintas

Tidakkah sentimen negatif terhadap kewangan negara akan bertambah memandangkan langkah China berkenaan turut dikritik hebat oleh para pakar ekonomi dan penganalisis dunia?

4) Siapakah yang akan mendapat faedah sebenar daripada suntikan dana ini? Seterusnya, apakah jaminan kerajaan bagi memastikan suntikan dana tersebut tidak dimanipulasi untuk kepentingan politik dan juga individu tertentu?

Suntikan dana ini dibimbangi akan dimanipulasi melalui pemberian ‘duit kopi’ untuk tujuan pembersihan wang haram (money laundering) sepertimana yang didakwa berlaku dalam skandal 1MDB.

Kerajaan harus sedar bahawa penyusutan nilai mata wang negara yang mendadak perlu ditangani dengan segera bagi pemulihan ekonomi jangka panjang.

Suntikan dana tersebut hanyalah langkah pintas dan bersifat pemulihan jangka pendek semata-mata yang bakal mendedahkan pasaran Malaysia sekali lagi kepada aliran keluar dana asing yang lebih besar, terutamanya setelah suntikan RM20 billion itu habis dibelanjakan.

Jumlah sebesar ini jika disuntik sebagai peruntukan untuk merancakkan aktiviti ekonomi kecil dan sederhana seluruh negara mampu meningkatkan pendapatan rakyat melalui peluang penglibatan dalam ekonomi domestik yang lebih luas.

Pihak kerajaan sering menggunakan alasan bahawa fenomena global menyebabkan penyusutan nilai mata wang, namun kerajaan tidak dapat menafikan bahawa skandal 1MDB dan kemasukan wang RM2.6 bilion ke akaun peribadi PM sendiri telah menggalakkan dan meningkatkan lagi sentimen negatif terhadap kedudukan ekonomi negara.

Justeru kami melihat bahawa perdana menteri sepatutnya meletak jawatan terlebih dahulu sebagai langkah awal yang cekap dan bertanggungjawab bagi memulihkan ekonomi negara.

Pemimpin negara wajib mendahulukan nasib negara dengan membela masa depan anak muda. Kami mahu mewarisi kekayaan yang adil lagi saksama di samping kesenangan hidup tanpa bebanan kos saraan yang tinggi.

Wariskanlah kepada kami kemakmuran dan bukannya bebanan hutang dan pinjaman. Kami gusar apabila melihat nasib anak muda semakin bertambah terbeban.

Perhimpunan baju merah, Rabu lalu gagal melihat keseriusan kemelut ini. Jika api perkauman yang mahu diwariskan, kami bimbang masa depan anak muda amat gelap.

Mereka bukan sahaja akan dalam kemiskinan, malah dalam persengketaan dan perbalahan sesama sendiri. Kami khuatir nantinya yang menang jadi abu, yang kalah jadi arang.

FAIZ FADZIL Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara

Sumber : malaysiakini.com

Mengapa pemimpin PAS ‘gugur setandan’?

Masalah label melabel di kalangan anggota dan pimpinan dalam PAS dan penguasaan eksekutif dalam Majlis Syura Ulama antara punca pemimpin PAS yang “gugur setandan” menubuhkan Parti Amanah Nasional (AMANAH), kata Pengerusinya Mohamad Sabu.

Mengakui tidak mampu memperbaiki keadaan PAS dari dalam, Mohamad berkata tindakan mendoktrin dengan label – antara lain liberal, munafik haraki dan peguam neraka – oleh satu kumpulan dalam PAS tidak bersetuju dengan kumpulan lain, berlaku cukup ketara dan dilihat berbahaya.

Bekas Timbalan Presiden PAS itu berkata, hal demikian jelas berlaku sewaktu pemilihan parti pada Jun yang menyaksikan kumpulan yang tak disukai, didoktrinkan dengan panggilan itu.

Lebih membimbangkan lagi, kata Mohamad tindakan mengkafirkan sesama kumpulan umat Islam yang berlaku di Iraq, Syria dan Libya, telah meresapi umat Islam di Asia Tenggara termasuk di Malaysia.

“Saya melihat ia satu trend yang berbahaya kepada parti (PAS), Malaysia dan umat Islam. Oleh tu, wadah baru ini (AMANAH) perlu dijelmakan untuk memperbetulkan semula konsep Islam yang sewajibnya membawa rahmat ke seluruh alam.

“Konsep itu sudah menjadi malapetaka, kerana tersalah urus, tersalah tafsir. Parti Amanah Negara menjadi satu rahmat kepada umat Islam dan rakyat Malaysia, untuk bawa aliran tajdid kepada orang Islam dan bukan Islam,” katanya.

Antara wakil rakyat yang tewas dalam permilihan dan meninggalkan PAS adalah beberapa ahli parlimen dan ADUN antaranya MP Sepang Hanipa Maidin, Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Khalid Samad (Shah Alam), Dr Mariah Mahmud (Kota Raja), Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad (Kuala Terenganu), Aminoul Huda (Parit Raja) dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, pemimpin yang dikenali Mat Sabu itu berkata penguasaan segelintir kumpulan khusus sebagai anggota badan eksekutif PAS dalam Majlis Syura Ulama turut menjadi punca pemimpin meninggalkan PAS.

Apatah lagi, kata Mohamad, anggota Majlis Syura yang dilantik selama lima tahun dianggap sukar membuat perubahan dalaman, menyebabkan beliau dan rakan-rakan memikirkan menubuhkan parti baru yang membawa motto ‘Islam rahmat kepada semua’.

Hanya ketawa dengar soalan

“Saya antara orang yang menjulang (mendacangkan) kepimpinan ulama (suatu ketika dulu), sehingga wujud Majlis Syura (Ulama PAS). Dahulu orang (tokoh) yang terlibat dalam Majlis Syura kurang terlibat dengan majlis eksekutif.

“Misalnya, ada pensyarah, bekas mufti, ilmuan, (mereka) tak kira parti sangat. Tetapi kebelakangan ini, mereka yang terlibat dengan Majlis Syura, adalah orang yang terlibat dalam eksekutif sama ada AJK Dewan Ulama dan AJK Pusat itu sendiri,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata pengaruh dan kemasukan graduan Timur Tengah ke dalam PAS yang membawa balik pemikiran dari Mesir dan negara lain tanpa melihat realiti di Malaysia antara punca pemimpin PAS menubuhkan Gerakan Harapan Baru dan AMANAH.

“Pemikiran itu dibawa tanpa melihat suasana sosial dan ekonomi di Malaysia. Inilah yang kita kata berlaku gugurnya setandan pemimpin lama dalam parti itu.

“Pengaruh daripada Timur Tengah melanda dan kita kena melihat, kehebatan Ikhwan Muslimin dari sudut dakwah, tarbiyah, ketahanan dalam perjuangan tapi kita kena akui kegagalan mereka dalam pemerintahan,” katanya.

Sehubungan itu, dengan kewujudan AMANAH, Mohamad berharap ia menjadi usaha untuk membendung masalah itu, walaupun dianggapnya masih di peringkat awal, dibimbangi kesan seperti yang berlaku seperti di Timur Tengah melanda negara.

“Maka jika tidak tak diubat untuk mencari jalan penyelesaian, masa yang begitu panjang diperlukan untuk keluar daripada kemelut. Di peringkat awal kita kurang atau kita matikan ia memberi keburukan kepada Islam dan kepada umatnya,” katanya.

Ditanya sama ada masalah tersebut disebabkan kelemahan kepimpinan Hadi, Mohamad mengambil jalan selamat dengan enggan mengulas dan hanya ketawa apabila soalan itu dilontarkan.

Soal integriti

“Kebolehan, jasa, kekuatan seseorang tidak dinilai (dalam pemilihan baru-baru ini), tapi apa dinilai – kamu ini daripada puak mana. Bila penilaian seperti itu, maka diundi mengikut senarai yang diberi kepada perwakilan.

“Bukan dilihat daripada pencapaian pada orang yang memegang jawatan itu. Itu yang menimpa parti lama saya dulu, harap ia tidak berulang dalam Parti Amanah Negara,” katanya.

Selaku ketua AMANAH, beliau mahu menyatukan penghayatan akidah dan akhlak Islam dan pentadbiran dengan menitik beratkan soal melawan rasuah dan integriti yang kurang dihayati berbanding masyarakat Eropah.

“Dalam erti kata lain, akhlak Islam ada pada orang Eropah, Jepun, Korea, Singapura. Akhlak jahiliyah ada pada orang Islam.

“Orang melihat ingetriti dalam pemerintahan kita tak ada kecuali Tok Guru Nik Aziz. Integriti dalam pemerintahan kita, tidak ada mengikut laporan dalam dan laporan luar.

“Jadi inilah perlu diutamakan kalau Islam dan umat mahu muncul semula,” katanya yang menepis tuduhan menjadi kuda tunggangan DAP dan parti itu tidak memberikan satu sen pun melainkan sokongan moral kepada penubuhan AMANAH.

Mohamad juga berkata beliau mengarahkan supaya pimpinan AMANAH ‘menutup mulut’ daripada bercakap mengenai isu pembahagian kerusi dan pilihan raya umum buat masa ini, sebaliknya memberi tumpuan kepada pengukuhan organisasi sehingga Disember.

“Kami nak tumpu mobilisasi ahli, dan menubuhkan kawasan. Itu yang kita nak tumpu. Saya pun pesan kepada semua pimpinan, jangan bercakap soal kerusi nak tanding, saya nak tumpu sehingga akhir Disember ini,” katanya.

Sumber : malaysiakini.com

Hanya Balok Baru di Kuantan catat IPU tidak sihat

SEORANG pekerja tidak memakai topeng muka ketika keadaan berjerebu di Jalan Pekelliling, Pasir Gudang dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara mencatatkan 103 iaitu pada paras tidak sihat. – Foto Hairul Anuar Abd Rahim
KUALA LUMPUR: Kebanyakan kawasan di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana setakat 8 malam ini, dengan hanya Balok Baru di Kuantan, Pahang merekodkan bacaan 101 iaitu kualiti udara tidak sihat.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) malam ini, antara kawasan dengan bacaan IPU sederhana ialah Muar di Johor (75), Tanah Merah di Kelantan (78), Nilai di Negeri Sembilan (81), Alor Star di Kedah (82), Kemaman di Terengganu (92), Seri Manjung di Perak serta Pelabuhan Klang (94) dan Shah Alam (95) di Selangor.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Orang ramai boleh merujuk portal apims.doe.gov.my untuk mengetahui bacaan IPU semasa. – BERNAMA

Sumber : bharian.com.my

1,000 doktor tentera belum terima anugerah PJM

Persatuan Pegawai Veteran Kor Kesihatan Angkatan Tentera mengenal pasti 1,000 doktor tentera yang masih belum dianugerah Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang diberi bagi mengiktiraf keperwiraan, keberanian serta khidmat bakti cemerlang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Presiden persatuan, Lt Kol(B) Dr Jaswant Singh berkata setakat ini hanya 50 doktor menerima anugerah itu dan baki doktor yang berkelayakan perlu menghubungi persatuan berkenaan untuk memastikan langkah-langkah yang perlu diambil, bagi membantu mereka menerima anugerah tersebut.

“Baru-baru ini, 34 doktor perubatan dikurniakan anugerah Pingat Jasa Malaysia di Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Pingat yang diwujudkan sejak Mac 2004 setelah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong itu adalah bagi mengiktiraf keperwiraan, keberanian serta khidmat bakti cemerlang anggota ATM sepanjang terlibat dalam darurat dan konfrontasi.

Untuk layak, anggota ATM mesti berkhidmat sekurang-kurangnya selama enam bulan dalam mana-mana pembentukan atau unit ATM semasa 1 Jan 1963 hingga 31 Dis 1965 bagi operasi dalam konfrontasi; 1 Jan 1969 hingga 2 Dis 1989 untuk operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) atau 1 Jan 1969 hingga 17 Okt 1990 untuk operasi terhadap Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU).

Sementara itu, penerima anugerah PJM, Kapten (B) Datuk Dr Amarjit Singh Gill, 65, yang menyertai tentera pada 1976, berkata beliau telah berkhidmat 15 bulan di kem berlainan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand dan sewaktu bertugas beliau sentiasa diiringi dalam kereta berperisai atau diturunkan dari helikopter.

Beliau berkata satu daripada kem utama itu ialah di Gubir, Kedah yang beliau terbabit dalam operasi Op Gonsales II untuk mengusir pengganas komunis.

“Saya bersimpati ramai yang menawarkan diri untuk berkhidmat kepada negera ketika insurgensi, tetapi berakhir dengan kudung kaki atau hilang anggota badan dan nyawa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Jaswant berkata ramai doktor tentera yang layak menyertai Persatuan Pegawai Veteran Kor Kesihatan Angkatan Tentera dan untuk itu mereka harus menghubungi Setiausaha persatuan Lt Kol Dr Victor Feizal Abd Shatar di talian 012-3995912 atau e-mel: victorfeizal@gmail.com.

– Bernama

Sumber : malaysiakini.com