2 remaja dipenjara, tunggang motosikal ala ‘Superman’

Dua remaja hari ini dipenjara dua hari dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan melakukan aksi ala ‘Superman’.

Majistret Zilfinaz Abbas turut memerintahkan Muhammad Zulfirman Mohd Ikram, 18, dan Muhammad Amin Md Isa, 22, menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini dan tambahan hukuman penjara dua bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Zulfirman dan Muhammad Amin, masing-masing menggunakan motosikal jenis Yamaha RXZ serta Yamaha Lagenda didakwa menunggang secara melulu dan berbahaya dengan aksi ala ‘Superman’ dengan meletakkan dada pada kusyen serta mengangkat kaki lurus ke belakang.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Lebuhraya DUKE, di ibunegara, antara jam 3.30 dan 3.35 pagi, hari ini dan didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun dan denda, serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Hashimah Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, Muhammad Zulfirman dan Muhammad Amin yang tidak diwakili peguam, memohon dijatuhkan hukuman ringan atas alasan berasal daripada keluarga susah.

– Bernama

Sumber : malaysiakini.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *